Hingga cerah pagi betul-betul mengganggu, angan aku sampai pada penghujungnya. Bintang yang sebutir itu sedikit-sedikit lenyap dari pandangan. Entah kerana cahaya mentari sangat kuat atau kerana minda sudah mahu berhenti rehat. Dan kala jam menginjak ke angka lapan, mata aku perlahan-lahan tertutup melayan lena seketika.
Dan buncah waktu yang sedikit itu masih belum mahu melepaskan aku dari degup jantung persis manusia yang teruja amat. Bagaikan jatuh cinta, irama jantung aku terus rancak. Tidur aku bersulam mimpi yang indah. Kata orang, mimpi siang tidak memberi makna apa-apa. Pedulikan. Pada aku, mimpi tadi sangat asyik. Paling indah dan memberi semangat.
Ini rahsia yang sekali ini sahaja mahu aku kongsikan. Bintang yang sama pada telapak tangan aku semalam hadir memberi kunjung ingatan dalam mimpi sebentar waktu, berkilau dalam cahaya yang sangat indah. Persis pancutan bunga api dalam dada langit malam, bertemankan sayap-sayap malaikat dan ikut serta rombongan burung kecil putih di relung awan.
Aku mahu kenang mimpi ini; sebab mungkin ia cuma datang sekali ini sahaja sepanjang hidup aku. Tapi sangat-sangat aku berharap, ini bukan yang terakhir.
No comments:
Post a Comment