Thursday, May 5, 2011

.Pedoman.

Mencari pedoman itu perlu dengan menulis. Kerana itu Rasulullah tidak dihadiahi kepandaian menulis. Tunggu dulu, jangan serang aku dulu sebelum sudah membaca keseluruhan tulisan ini.

Pedoman bukanlah sesuatu yang dicari oleh Rasulullah sebaliknya dikurniakan kepadanya dalam bentuk hadiah. 

Mungkin ada yang berkata, mana mungkin tidak dicari pedoman itu. Semenjak kecil, baginda menjauhi segala maksiat. Baginda mengelak menyembah berhala dan terpenting sekali baginda itu manusia berakhlak paling suci dan mulia. Baginda melihat dan menilai dengan logiknya bahawa dunia ini punya Tuhan yang Esa.

Dengan argumentasi yang sama, aku tuliskan buat kali kedua bahawa sesungguhnya pedoman bukanlah sesuatu yang dicari oleh Rasulullah sebaliknya dikurniakan kepadanya dalam bentuk hadiah.

Segala yang berlaku itu adalah hadiah dari Tuhan buat baginda semenjak awal kelahirannya. Malah, tidak akan keterlaluan kalau aku katakan semenjak sebelum ada wujud seketul daging pada rahim bondanya. Dan lebih tepat, ia sudah wujud sejak dulu lagi-- sebelum tertiupnya roh.

Proses menulis memerlukan pembacaan. Menulis merupakan tugas paling rumit kerana demi melaksanakan tugas yang satu ini, kita manusia di bumi ini melalui bebarapa lapis tugas lainnya terlebih dahulu. Bermula dari aspek mencari ilham, mengenalpasti, menilai, mencari pandangan, memberi sentuhan, mendapatkan maklumat, membaca, memahami, menyusun susur alur, hingga pada proses akhirnya terjadinya sebuah tulisan.

Dan proses menulis ini adalah sama dengan mencari pedoman. Pedoman itu adalah agama. Tidak kira dalam agama mana sekali pun, yang di ajar kepada penganutnya adalah sebarang bentuk kebaikan. Jujurnya, tidak ada satu agamapun yang menggalakkan manusia meminum arak, berhubungan terlalu sosial, malah semua agama itu wujud kerana kepercayaan bahawa ada satu kuasa yang disebut Tuhan.

Dan kali ketiga lagi aku menulis, sesungguhnya pedoman bukanlah sesuatu yang dicari oleh Rasulullah sebaliknya dikurniakan kepadanya dalam bentuk hadiah.

Cuma bezanya Islam, bila pada pedoman itu Tuhan anugerahi semua jalan dan cara hidup yang sempurna. Islam itu hadiah terbesar dari Tuhan untuk umatnya. Dengan setiap kesempurnaan dalam Islam, Rasullullah sudah tidak perlu lagi kepandaian menulis untuk menokok tambah pedoman paling agung dari Tuhan.

3 comments:

  1. sangat sokong, karangan kamu semakin hari semakin mengancam untuk dibaca.

    ReplyDelete
  2. peh. sokong komen khrlhsym di atas.

    ReplyDelete
  3. menambah rasa dan turut setuju dengan apa yang Karl dan Psycho katakan.

    penulisan merupakan bentuk paling dinamik untuk meluahkan rasa.

    ReplyDelete