Saturday, July 9, 2011

.Sebuah warkah sebelum dia menjadi kenangan.

Dia duduk termenung di tepi jendela sambil membuang pandang pada panorama langit yang bertukar jingga. Kicauan burung-burung yang sibuk pulang ke sarang sesekali membuatkan dia tersenyum apatah lagi pipi mulusnya dibelai lembut desir angin. Irama itu adalah irama kegemaran dia. Bunyi alam semesta. 

Pada senja yang beranjak malam, dia utuskan salam ingatan buat dirinya malam ini. 

Dia bakal pulang menjejak cintaNya pada Tuhan. Usah ditanya bagaimana dia tahu sebab dia cuma tahu ajalnya sudah tiba. Jangan cuba propagandakan apa yang dia rasa kerana ia cuma apa yang dia rasa. Dia cuma tahu dan dia yakin dengan apa yang dia rasa.

Dia ambil sehelai kertas dan sebatang pena dari dalam gelas di atas meja. Dia mula merungkai isi hatinya satu persatu atas helaian demi helaian kertas. Tulisan tangannya tidaklah terlalu cantik tapi tidak pula sampai dikata orang cakar ayam. Maka dengan penuh perasaan dia kirimkan kenangan buat warga sekeliling mengingat dia selepas beberapa waktu dia tenggelam dalam perut bumi.

'Ke hadapan kamu-kamu yang aku tinggalkan.' Begitu dia memulakan fansurinya. Panjang utus ingatan dia beri cuma ada satu perenggan yang paling mendalam intipatinya. Paling memberi sedar dan paling kukuh dalam ingatan.

Dunia tidak akan pernah lepas membuat kejam pada kamu sehingga waktu matimu. Namun, jangan sesekali kamu salahkan dunia kerana wujud dan hidupnya dunia ini sudah begitu padat dengan anjuran susun atur yang sangat kemas. Biarlah kekejaman dunia ini menjadi pemangkin jiwamu agar ia terlahir lebih gagah, lebih tabah. Jangan sesekali kamu gentar pada dunia. Lawan ia dengan citra dirimu. Telah ia tercipta dalam diri setiap dari kalian sebagai kubu semangat dan pagar juang. Jangan takut, teruslah melangkah dalam dunia takdirmu. Hadapi semua dugaan dan susah dengan senyum. Bertabahlah. Dan kalau diizin Tuhan Yang Maha Penyayang ketemu kita lagi di alam syurga.

Nota tulis itu terhenti di situ. Pada sudut tepi sebelah kanan, dia tuliskan namanya. Esoknya, dia sudah menjadi sebuah kenangan. 

4 comments:

  1. [1] Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
    [2] Pujian bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
    [3] Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
    [4] Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).
    [5] Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
    [6] Tunjukilah kami jalan yang lurus.
    [7] Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang dimurkai ke atas mereka, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

    ReplyDelete
  2. Manusia sajalah yg menentukan hidupnya sendiri.

    ReplyDelete