Sayang, sihat tak hari ini?
Aku dengar kau berkata-kata malam tadi.
Aku dengar kau sedang menilai semula kehendak Cik Fikiran.
Ya, kehendak Cik Fikiran sebelum kau mati.
Cik Fikiran mahu kita melangkah capai kejayaan dahulu.
Cik Fikiran tak mahu ada apa-apa menghalang satu antara kita.
Cik Fikiran sangat tegas tentang waktu yang belum sampai.
Cik Fikiran tetap teguh dengan prinsipnya, kerana memang terbukti dari sejarah kita sejak dahulu kala.
Aku akui, 11 tahun dahulu kita menghadapi dilema yang sama.
Menidakkan apa yang kau rasa, sayangku hati.
Aku sangat tahu kesakitan yang kau tanggung sewaktu itu. Sangat faham. 7 tahun bukan waktu singkat bukan?
Meski hingga sekarang aku masih terbayang-bayang waktu itu. Detik itu dan saat itu.
Bisa sakit yang sangat pedih.
Tapi pernah tak kau wahai hati, meski sekejap memahami butuh hendak Cik Fikiran?
Ia mahu kejayaan yang kita usung sejak kita kecil.
Saat semua kawan-kawan lain bergembira menjadi kanak-kanak, sedang kita sudah mula menelaah kehendak.
Ya, kehendak untuk berjaya.
Kejayaan yang sering kita bayangi.
Meski kejayaan itu semakin payah dan susah untuk kita tempuhi.
Cik Hatiku sayang,
Maafkan aku kerana membunuh semua anganmu.
Mungkin aku sangat kejam tapi pada aku kata-kata Cik Fikiran itu sangat benar.
Melayan rasa kau membuatkan aku dan Cik Fikiran turut sama lali.
Melayan rasa kau buat aku dan Cik Fikiran turut sama bermimpi.
Sedang setiap dari kita ini sudah punya tugas dan tanggungjawab untuk dipikul.
Semua kita ini sudah sedia maklum perlu apa kita lakukan untuk kesejahteraan bersama nanti.
Namun, semuanya seolah-olah mustahil untuk dikecapi.
Kerana satu antara kita tak mampu mengawal, membuatkan tugas dan tanggungjawab terbiar begitu sahaja.
Cik Hati,
Aku tahu kau memberontak hebat.
Aku tahu dilema yang kau tanggung.
Aku faham dewasa kau.
Tapi aku dan Cik Fikiran tidak mampu selain membunuh kau.
Dan menghidupkan kau semula.
Aku mahu kau yang baru, yang lebih komited dengan urusan hidup.
Bukan lagi hanya memikirkan tentang diri sendiri.
Cik Hati,
Aku mahu kau berganding bahu sama aku dan Cik Fikiran.
Mari, kita lunasi langkah-langkah yang tinggal sedikit ini.
Kita habisi penamat yang sedikit ini dengan cekal.
Kita harus telus untuk melangkah.
Jangan ada malas.
Jangan ada leka.
Kuat dan tabah.
Dan selepas itu nanti, bila saat kita genggam sekeping impian itu... aku harap kau sudah kembali menjadi remaja.
Kembali bersemangat untuk merasai suatu rasa.
Kembali percaya untuk mencari bahagia.
Kerana sekalipun tidak pernah aku dan Cik Fikiran menafikan fitrah kau.
Sekalipun aku dan Cik Fikiran menyalahkan kau.
Cuma masa yang tidak sesuai.
Cik Hatiku sayang,
Aku tahu kau lebih kenal siapa kamu.
Kau sendiri tahu bahawa kau akan menjadi terlalu bergantung dan berharap.
Kau akan selalu terleka bila mana rasa itu cecah jiwa kau.
Kau lebih kenal kuat dan lemah kamu.
Dan hari ini, aku mahu kau tahu duhai hati...
Kematian kau itu bukan dengan niat membuang fitrah kau jauh-jauh
tapi untuk menyemai semula biar ia lebih utuh dan gagah waktu ia dibutuhkan kelak.
Sekarang ini waktu kita bergandingan demi impian.
Maafkan aku Cik Hati.
Aku dan Cik Fikiran menanti kau di depan.
Kami mulakan langkah dahulu.
Kami teruskan perjuangan tanpa kau.
Tapi kami mahu kau tahu bahawa tanpa kau kami lemah.
Tanpa kau kami mudah goyah.
Kami perlukan kau, degil kau.
Demi sebuah kejayaan.
Jangan terlalu lama membuat keputusan Cik Hati!
No comments:
Post a Comment