Ah, bukan aku mahu kata aku ini perempuan solehah dan zuhud. Tapi... Ah, abaikan.
Kacang selalu lupakan kulit, tapi kulit tidak. Sebab, demi menjaga kacang-- kulit yang berpanas berhujan. Tanpa menghiraukan payah sendiri, kulit lebih utamakan keselesaan kacang. Satu waktu dulu, aku pernah menjadi kulit yang dilupakan. Tapi aku tidak kisah. Sedikit kesal barangkali. Cuma aku sedih pada setiap bilah-bilah waktu rindu. Aku, sangat sakit bila ingatan pada kacang tidak mahu pergi. Dan sebab kacang pergi jauh-jauh dari aku adalah fitnah.
Kalau masa boleh diulang semula, aku mahu failkan kazaf pada si pemfitnah. Apa barang saman malu. Tidak bawa kesan pada hati aku. Sebatan 80 kali lebih enak. Lebih setimpal dengan lembut lidah yang munafik dalam perkataan. Dia memfitnah dan hidup senang. Sedang aku, sampai ke hari ini masih payah berjalan.
Air mata aku sekali itu julung-julung kali tumpah di hadapan emak dan abah. Nasiblah, percaya emak dan abah pada aku tidak pernah kurang. Dan kerana percaya itu, emak turut sama berjuang mempertahankan maruah aku yang dicincang lumat.
Waktu itu, aku melihat emak dan abah sebetul-betulnya kulit, dan aku ini kacang muda. Tidak punya daya dalam apa jua. Dan sekali lagi ingatan untuk diri sendiri, semoga aku tidak menjadi kacang yang melupakan kulit. Tidak, aku haramkan peribahasa itu wujud dalam garis hidup aku sampai ke liang lahad.
Buat kacang yang melupakan aku, aku harap kau baik-baik sahaja. Sebab aku rindu kau. Aku rindu waktu-waktu kita tersenyum bersama. Waktu kita bersahabat.
Aku harap kau berjumpa kulit baru agar kau sentiasa menjadi kacang idaman buat santapan orang. Dunia luar itu kasar, maka berdoalah kau dihadam 40 kali kunyahan agar wujud kau dirasa nikmat pada yang lain. Dan pergi kau diingat orang sebagai rugi. Aku mahu mereka-mereka di luar sana merasa nikmat itu, sama seperti aku rasa waktu dulu.
Dan pada sang penfitnah, rugilah hidup kau sebab aku sekalipun tak akan pernah lupa apa yang telah kau buat. Memaafkan bukan bermakna melupakan. Balasan untuk kau bukan sepatutnya dari aku. Yang selayaknya cuma Tuhan. Aku percaya Tuhan itu Maha Adil.
Tengahari ini aku terkenang lohong hitam satu fasa dalam hidup yang aku gelar jahilliyah.
"Aku mungkin kulit pada kacang yang lain, sedang aku sendiri adalah kacang pada kulit yang lain."
kucing lupakan kulit dan pemfitnah tu dah jadi perkara biasa kala ini. dah berkudis. taktau apa ubat patut dibagi. sbr jela. dah kacang lupakan hang, hang cari kacang lain.
ReplyDelete