Monday, February 21, 2011

Cik Fikiran ada menulis nota untuk Cik Hati. Nota tanda ingatan. Sebab Cik Hati semalam merengek mahukan semangat dia yang hilang. Cik Hati semalam menangis lagi, sampai tersedu-sedu. Cik Hati kata degil bawa diri jauh-jauh. Jauh sampai tak nampak di mana. Cari sampai tak jumpa.

Sebenarnya nota Cik Fikiran ini panjang sangat. Ala-ala surat pun ada. Nak lukiskan jadi mind-map pun payah. Malas nak lukis-lukis dan scan. Susah. Jadi Cik Fikiran siapkan sahaja nota panjang ini. Khas buat Cik Hati.

Kepada: Cik Hati.
Ikhlas daripada: Cik Fikiran.

Cik Hati,

Cik Fikiran mahu Cik Hati jiwai apa itu hidup. Ala-ala berlakon. Cik Hati kena jadi heroin. Boleh? Tajuk drama ini Mencari Lokus Hidup bernama Semangat. Vogue tak tajuk kita? Senang je nak berlakon, buat macam Fasha Sandha dan Lisa Surihani. Comel jep. Hahaha. Tak payah-tak payah. Jadi diri sendiri je. Jadi diorang tak best. Tak ada privasi. Okey?

Cik Hati dah sedia ke nak berlakon ni... Nak terangkan babak satu. Cepat.

Cik Hati di tinggalkan dalam sebuah bilik kosong. Lampu ditutupkan. Cik Hati pejam mata, diam-diam. Ada lagu latar ala-ala melankolik macam lagu kat side bar kanan. Bunyi piano tu. Gelap dan sepi.

Tiba-tiba ada bunyi guruh, ada petir dan kilat. Cik Hati takut, gelisah, tak keruan. Cik Hati mahu lari tapi keadaan sangat gelap. Cik Hati tak berani. Cik Hati sangat takut. Cik Hati mahu menjerit tapi tak ada sesiapa mahu dengar. Cik Hati cuba juga nak melangkah tapi Cik Hati terjatuh. Tersepak sesuatu. Tapi Cik Hati tak tahu apa yang dah Cik Hati sepakkan tadi. Cik Hati rasa serba salah, rasa risau risau dan risau. Tak tentu arah.

Cik Hati hilang tujuan. Cik Hati mahu menangis tapi Cik Hati degil. Cik Hati jadi keras kepala. Cik Hati mahu juga memahami kenapa  Cik Hati berada dalam ruang gelap tu. Cik Hati mahu keluar tapi Cik Hati dah berjanji kena terus menunggu di situ. Dan Cik Hati tak mahu jadi munafik, tak mahu menipu. Tak mahu hipokrit dan tak mahu untuk tak tunai janji. Lalu Cik Hati pasrah di situ.

Lama Cik Hati bungkam. Lama Cik Hati tunggu untuk diselamatkan. Tapi semuanya sia-sia. Cik Hati akhirnya tekad untuk keluar sendiri. Walaupun Cik Hati akan mungkir janji, Cik Hati rela. Namun di saat Cik Hati mahu keluar dari kegelapan, Cik Hati sedari sesuatu. Cik Hati sudah kehilangan banyak perkara. Cik Hati sudah kehilangann erti berani. Cik Hati sudah kehilangan degil dan semangat. Cik Hati sudah kehilangan remaja dan gelak ketawa. Yang Cik Hati ingat cuma kegelapan. Cik Hati cuma kenal ketakutan. Cik Hati cuma sedar bahawa Cik Hati langsung tak kenal jalan.

Cik Hati keliru. Cik Hati terpaku. Cik Hati cuba untuk cari kenangan tapi tak jumpa. Cik Hati cuba cari siapa Cik Hati namun tak ingat. Bungkam.

Lampu suram fokus pada Cik Hati yang memandang lantai. Cik Hati tidak menangis, tidak juga ketawa. Penonton cuba menelaah air muka Cik Hati tapi kosong. Kosong. Lutsinar. Tidak ada apa-apa.

Tamat babak satu.

Cik Hati, dapatkah Cik Hati menjiwai lakonan itu? Untuk waktu ini Cik Hati perlu hadam perasaan itu. Kemudian nanti kita akan melompat ke babak seterusnya.

Cik Fikiran yakin Cik Hati boleh buat lebih baik dari apa yang Cik Fikiran bayangkan. Sebab apa yang telah kita lalui lebih payah dari itu.

Nanti Cik Fikiran sambung babak seterusnya. Cepat hafal wahai hati. Kita sekarang sedang belajar mencari semangat. Semoga pembelajaran ini dipermudahkan Tuhan yang mengetahui segala isi hati manusia macam kita. Kita bermakna aku.

Aku yang sentiasa pentingkan diri, memanipulasi kita.

No comments:

Post a Comment