Wednesday, February 16, 2011

Cik hati tidak meragam hari ini. Tahniah! Nampaknya cik hati sudah sedikit faham erti sabar. Dia sudah mula kuat. Dia belum merengek minta pujuk lagi hari ini. Nasib baik, kalau tidak aku susah mahu selesaikan tugasan.

Tadi Cik hati ditemani seorang rakan lama. Dia datang bercerita kisah gembira dia. Dan Cik hati turut sama merasai kegembiraan itu. Cik hati tenang, aku juga bisa saja tersenyum senang.

Sengaja aku habiskan masa di luar, tidak pulang ke bilik. Tapi aku harus kuat melangkah. Aku mahu ajar Cik hati bagaimana mahu menjadi kuat. Kuat untuk diri sendiri. Aku mahu Cik hati kembali kenal hidup. Aku mahu Cik hati kembali faham bahawa hidup bukan cuma perlu menangis. Aku mahu ajar Cik hati bagaimana mahu senyum.

Cik hati, ada satu pesanan untuk kau. Aku takut kalau-kalau aku terlupa nanti.

Sayangku Cik hati,

Aku tidak pasti akan kesihatan kau. Tapi aku mahu kau sihat selalu. Sebab sakit kau sama dengan sakit aku. Setiap hela nafas aku sekarang amat susah. Aku salah buat kau mati, tapi jangan hukum aku lama-lama begini. Jangan benci aku. Sebab kalau Cik hati benci aku, aku dah tak ada siapa-siapa lagi mahu sayang aku seadanya aku. Tolonglah Cik hati, aku cuma ada kau. Dan cuma kau je yang aku ada untuk aku tatang sekarang.

Cik hati, jangan kau endah cela fikiran yang sinis mengata. Cik fikiran memang mulut becok. Dia mana pernah faham kata hati. Dia selalu mahu benar, sedangkan kebenaran kadang-kadang menyakitkan. Cik fikiran langsung tak fikir tentang aku. Dia cuma fikir apa yang betul itu seharusnya betul. Sakit atau seksa, itu bukan urusan dia. Sebab sakit dan seksa itu tidak terasa pada fikiran tapi pada hati. Pada kau, kan Cik hati?

Cik fikiran cuma buat apa yang dia percaya.

Cik hati pula merana untuk kepercayaan itu.

Semuanya sebab aku.

Sebab Cik fikiran dan Cik hati adalah tanggungjawab aku.
Aku tidak kuat menjaga kedua kamu.
Sebab itu jadi begini.

Aku tahu Cik fikiran rasa bersalah atas kematian Cik hati.
Cuma, Cik fikiran mahu menjadi rasional dan waras.

Dan lagi yang tinggal cuma aku.
Aku.

No comments:

Post a Comment