Thursday, February 17, 2011

Hai Cik hati...

Aku nampak senyum kau hari ini.
Aku lega dan teruja.

Kau tahu hati, setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Alah, aku tahu kau faham itu. Sekalipun kau tak pernah menidakkan hukum hikmah Tuhan, kan?

Aku bangga dengan kau sayang. Meski selepas rintangan demi rintangan mengganggu tenteram kita, kau masih mahu teguh melawan. Walaupun kita dipandang serong kerana melawan arus, tapi inilah kekuatan kita yang bukan sembarangan orang punya. Kita masih disayangi segelintir mereka di luar sana. Mereka yang faham cereka kita. Mereka yang merasai butuh hendak kau. Mereka yang bisa sahaja rasional menerima prinsip yang dipegang Cik Fikiran.

Lihat, kita bukan figura pelik yang sentiasa diludahi.

Cuma mereka-mereka yang ada jiwa unik mampu mengenal kita. Jiwa mereka persis magis!

Cik Hati,

Mahu tak kau mendengar cerita aku lagi? Sejak bercerita tentang Si Cantik yang Tidur tempoh hari, aku menjadi ralit mahu bercerita lagi. Hari ini aku mahu ceritakan tentang Si Pelik.

Di sebuah kampung tinggal seorang budak. Namanya Si Pelik. Dia mempunyai sepasang mata yang pelik. Matanya berwarna hitam, langsung tidak ada putih seperti kebiasaan orang. Sesiapa yang memandang matanya akan mendapat satu rasukan syaitan. Maka, seluruh penduduk kampung langsung menjauhi dia. Dia dipulau sendirian. Tambah menyedihkan, ibu bapanya juga turut menjauhi dia. Kata mereka, Si Pelik pembawa malang. Hiduplah Si Pelik seorang diri.

Pada suatu petang, Si Pelik berjalan-jalan seorang diri di hujung kampung. Maka dalam perjalanannya itu dia terserempak dengan seorang lelaki dan anaknya. Mereka itu saudara pedagang dari tanah seberang. Mereka datang ke kampun itu untuk menjual barang-barang ajaib.

Si Pelik telah disapa oleh Si lelaki Tua itu.

"Hai Si Pelik bermata hitam, apa kau sudi menjualkan sepasang matamu itu kepada aku?"

Si Pelik teragak-agak. Mata hitam miliknya adalah penyebab dia menerima nasib malang seumur kehidupannya. Namun, tanpa mata ini maka dia akan menjadi buta. Langsung akan menyusahkan semua orang pula.

Lalu Si Pelik menyoal pula, "Bagaimana aku mahu melihat jika aku berikan kau mata aku ini?" soal Si Pelik. Saudagar itu tersenyum sambil mengurut lembut janggut putihnya yang panjang itu.

"Apa kata jika aku berikan kau sepasang mata berwarna putih. Bila dilihat orang akan mata kau itu maka mereka akan mendapat sekeping emas dari setiap degup jangtung mereka. Semakin kuat jantung itu berdegup, maka semakin besar dan bernilailah kepingan wang itu." Kata Lelaki Tua itu.

Si Pelik menjadi teruja. Dia mahukan mata putih itu. Menurut dia, dia dipulaukan kerana matanya itu bakal membawa rasukan syaitan jika dipandang. Sekarang, jika dia dipandang maka semua orang akan mendapat kebaikan. Mereka akan mendapat emas. Tentu dia akan disayang orang. Begitu menurut hatinya.

Maka selesailah sudah urusan jual-beli sepasang mata itu.

Tanpa tidak-tidak, Si Pelik terus ke kampung dengan mata putihnya. Dia dengan gembira memberitahu orang kampung bahawa matanya yang baru itu akan memberi senang kepada semua orang. Matanya itu akan mengeluarkan emas bila dipandang.

Mendengarkan kisah itu, seorang lelaki tua yang tamak terus mampir kepada Si Pelik. Dia memandang mata Si Pelik, seterus itu ada sekeping emas di dalam telapak tangannya.

Si Pelik berasa puas bila berjaya membuktikan bahawa dirinya bukan lagi si pembawa bencana. Namun, harapannya bagaikan punah dan sia-sia. Lelaki itu memaki hamun dia. Katanya emas itu kecil dan langsung tidak memberi guna.

Si Pelik berasa sedih. Dia disisihkan lagi. Terus, dia pergi meninggalkan kampung itu membawa hatinya yang luka.

Cik Hati...

Kasihan pada si pelik itu kan, sayang?

Hatiku sayang, kau tahu bilamana nak memuaskan hati orang itu sebenarnya payah. Lalu yang harus kita laksanakan adalah memuaskan hati sendiri.

Sebab itu aku puaskan kau, agar ragam kau tidak mengganggu jalan hidup aku. Aku tak mahu terseksa terlalu lama pada sia-sia. Namun aku tidak mahu kau terleka sayang. Sama dengan Cik Fikiran. Dia risaukan kau. Jangan kau fikir dia langsung tak endahkan sengsara kau. Dia sangat risau, tapi seperti biasa tegasnya dia pada prinsip tak mampu untuk tunjukkan pada kau betapa dia butuh kesungguhan kau. Dia perlukan komitmen dari kau.

Pagi tadi, Cik Fikiran selitkan nota ingatan untuk kau.

"Oi.Oi. Jangan biar aku sendiri sebab aku perlukan kau. Cik Hati, kau kena tabah. Cepat seiring aku. Kita harus bertarung dalam perjuangan yang bergelar kejayaan. Aku tak mampu untuk terus fokus bila kau sedih terseksa. Cepat bangun, sambut aku. Mari kita redah untuk kegemilangan masa depan. Aku mula rindu degil kau."(Aku perlukan kau Cik Hati! ; yang memerlukanmu, Cik Fikiran.)

Lihat tak sayangku hati?

Segeralah bangun memuaskan kehendakmu. Aku tahu, kau sangat kepingin untuk berjaya... demi masa depan. Segeralah bangkit bersemangat. Kembalilah menjadi degil. Aku sendiri rindu degil kau.

Rindu sangat!

No comments:

Post a Comment